Aduan Polis Terhadap Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor

Satu aduan polis telah dibuat ke atas Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor pada 4 Mei 2009. Aduan ini dibuat berikut kegagalan beliau menjalankan tugasnya sebagai Pegawai Daerah. Aduan telah dibuat secara kolektif oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron.

Di dalam aduan tersebut, ahli-ahli MPR telah mengadu akan kegagalan Dato Hj Mohamad Noor berjumpa dengan penduduk dan seterusnya menyelesaikan masalah rumah dan tanah di Cameron Highlands. Mereka juga telah menyatakan bahawa selepas menghantar 6 surat untuk meminta temujanji mengadakan perjumpaan, Dato Hj Mohamad Noor hanya pernah mengadakan 1 perjumpaan.

Perjumpaan pada 7 Januari 2009, diadakan hanya selepas 60 orang ahli MPR turun ke Pejabat Daerah dan Tanah Cameron. Pegawai Daerah sungguh terkejut dan tiada jalan lain melainkan bertemu dengan rakyat pada hari itu. Itu pun dibantu dengan kehadiran begitu banyak anggota polis.

Di dalam laporan polis itu juga, ahli-ahli MPR telah mengkritik kehadiran Pegawai Polis di Pejabat Tanah Cameron pada 4 Mei 2009. Ahli-ahli MPR hanya mahu berjumpa dengan Pegawai Kerajaan untuk membincangkan masalah rakyat. Apakah rasional kehadiran pihak polis di situ? Adakah mereka ingin menakutkan ahli-ahli MPR supaya tidak hadir sekali lagi ke Pejabat Tanah dan Daerah Cameron?

Dato Hj Mohamad Noor juga telah mungkir janji apabila tidak bertemu rakyat. Beliau telah berjanji untuk bertemu rakyat pada perjumpaan 7 Jan 2009. Tetapi beliau tidak menepati janji yang diberikan.

Perjuangan rakyat Cameron akan diteruskan!

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: